Tuesday, January 31, 2006

9. Konsep ‘asabah dalam faraidh

Konsep ‘asabah dalam faraidh

Dalam bahagian-bahagian yang lalu kita telah membicarakan tentang jenis-jenis waris. Sehubungan dengan ini para ‘ulama kita telah membahagikan waris yang berhak menerima harta pusaka simati kepada tiga jenis; iaitu ashabul furudh, ‘asabah dan dzawil arham. Ashabul furudh adalah mereka yang ahli waris yang mendapat bahagian tetap seperti apa yang dinyatakan secara langsung atau tak langsung oleh Al-Quran.

'Asabah pula menurut istilah para fuqaha ialah ahli waris yang tidak disebutkan banyaknya bahagian mereka di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah dengan tegas. Sebagai contoh, anak lelaki ialah ‘asabah kerana berapa banyak bahagiannya tidak ditentukan oleh Al-Quran. Pengertian ‘asabah di kalangan ulama faraidh ialah orang yang membolot atau menghabiskan seluruh baki harta warisan setelah ashabul furudh menerima dan mengambil bahagian masing-masing.

Memandangkan bahawa tiada nas yang menetapkan bahagian ‘asabah, mungkin ada di antara pembaca yang bertanya, “Apakah dalil yang menyatakan bahawa para ‘asabah berhak menghabiskan harta perwarisan. Sehubungan dengan ini terdapat ayat al-Quran dan hadith yang menunjukkan bahawa ‘asabah berhak membolot atau menghabiskan harta warisan. Sebagai contoh, Al-Quran menyatakan, “..dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga...” (an-Nisa': 11).

Dalam ayat tersebut dinyatakan bahawa bahagian kedua orang tua (ibu dan bapa) masing-masing ialah seperenam (1/6) apabila simati mempunyai anak (keturunan). Akan tetapi apabila simati tidak mempunyai anak, maka seluruh harta peninggalannya menjadi milik kedua ibubapanya. Ayat tersebut juga menyatakan bahawa apabila simati tidak mempunyai anak, maka ibu mendapat sepertiga (1/3). Namun, ayat tersebut tidak menjelaskan berapa banyak bahagian bapa. Sehubungan degan ini kita dapat membuat kesimpulan bahawa bapa mendapat dua per tiganya (2/3) daripada harta tersebut; iaitu ia menghabiskan harta tersebut sesuai dengan pengertian ‘asabah.

Dalam satu ayat yang dikenali dengan ayat kalalah, Al-Quran menyatakan, "...jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak...." (an-Nisa': 176).

Pengertian kalimah "wahuwa yaritsuha" memberi isyarat bahwa seluruh harta peninggalan menjadi hak saudara lelaki jika simati tidak mempunyai anak dan inilah juga pengertian ‘asabah yang dimaksudkan oleh para fuqaha faraidh.

Disamping itu terdapat juga hadith yang menunjukkan ’asabah menghabiskan harta. Sebagai contoh Rasulullah saw bersabda, "Berikanlah faraidh kepada ahlinya, dan jika ada baki, ianya adalah untuk lelaki yang paling utama. " (HR Bukhari) Hadith ini dengan jelas menunjukkan bahawa ’asabah menghabiskan harta pusaka simati.

‘Asabah terbahagi kepada tiga; ‘asabah binnafsihi (‘asabah dengan sendiri), ‘asabah bil ghair (‘asabah dengan yang lain) dan ‘asabah ma’al ghair (‘asabah dengan yang lain). ‘Asabah binnafsihi terdiri daripada waris-waris lelaki daripada sebelah lelaki. Mereka terdiri daripada :

Anak lelaki
cucu lelaki dari anak lelaki sehingga kebawah
bapa
datuk sebelah bapa sehingga ke atas
saudara lelaki sekandung
saudara lelaki sebapa
anak lelaki saudara lelaki sekandung
anak lelaki saudara lelaki sebapa
bapa saudara lelaki sekandung
bapa saudara lelaki sebapa
anak bapa saudara lelaki sekandung
anak bapa saudara lelaki sebapa

’Asabah binafsihi merupakan golongan yang terbesar dikalangan ’asabah. Perlu dinyatakan disini bahawa selalunya apabila disebut ‘asabah sahaja ia membawa maksud ‘asabah binnafsihi. ‘Asabah menghabiskan harta hanya apabila ashabul furudh mendapat bahagian masing-masing. Sehubungan dengn ini, jika tiada lebihan (baki) daripada harta pusaka tersebut, maka ‘asabah tidak berhak menerima apa-apa. Sebagai contoh, seorang isteri meninggal dunia dan meninggalkan suami, anak perempuan dan saudara lelaki. Dalam kes ini suami mendapat bahagian setengah (1/2) daripada harta pusaka dan anak perempuan mendapat setegah lagi; maka saudara lelaki tidak mendapat apa-apa kerana suami dan anak perempuan sebagai ashabul furudh telah menghabiskan kesemua harta pusaka simati.

Dalam menentukan keutamaan antara ’asabah, caranya adalah sama seperti yang diterangkan didalam bahagian hijab; iaitu mengikut hukum Jabari. Ini adalah kerana ’asabah yang paling utama menghabiskan harta pusaka; dengan itu secara tak langsung ia menghijab ’asabah yang lain

0 Comments:

Post a Comment

<< Home