Tuesday, January 31, 2006

8. Hak Wanita dalam Sistem Pewarisan Islam

Hak Wanita dalam Sistem Pewarisan Islam

Jadi disini seolah-olah isteri sebagai wanita tidak mendapat hak yang sepatutnya. Disamping itu ayat 11 Surah An-Nisa memberikan bahagian anak lelaki dua kali ganda bahagian anak perempuan. Sehubungan dengan ini mungkin terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam dengan mengatakan bahawa Al-Quran meletakkan wanita dikelas kedua. Ini adalah kerana mereka tidak mengkaji hukum Islam secara menyeluruh. Sebagai contoh, anak lelaki diberikan bahagian dua kali ganda bahagian anak perempuan kerana lelaki dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada anak-anak dan bukannya perempuan. Jika anak lelaki dan anak perempuan mendapat bahagian sama banyak sedangkan anak lelaki tadi mempunyai tanggungjawab yang berlebihan; iaitu memberikan nafkah kepada isteri (menantu simati) dan anak-anaknya (cucu simati) sedangkan anak perempuan tidak dibebankan tanggungjawab tersebut. Sebaliknya suami beliau, iaitu menantu simati yang di pertanggungjawabkan untuk memikul beban tersebut. Disini jelas bahawa Islam memberikan hak bersesuaian dengan tanggungjawab.

Kesaksamaan

Sebaliknya apa yang berlaku di zaman moden ini ialah sistem kekeluargaan telah menjadi kucar kacir kerana sesetengah wanita menuntut hak yang sama dengan lelaki tetapi mereka ingin mengekalkan tanggungjawab yang sedikit. Sebagai contoh seorang wanita Muslim inginkan hak untuk bekerja, meninggalkan rumah dan mendapatkan gaji tetapi mereka menuntut agar suami menanggung semua perbelanjaan rumah dan menyara anak-anak sehinggakan kadang-kadang sang suami terpaksa menanggung hutang yang banyak sedangkan sang isteri dapat menyimpan wang dan membeli perhiasan yang mahal. Begitu juga dengan sesetengah pihak lelaki; mereka mahukan bahagian dua kali ganda saudara perempuan mereka tetapi menyerahkan kepada saudara perempuan untuk menjaga ibu tua yang telah kematian suami. Keporakperandaan sesuatu keluarga ini terjadi kerana berpunca daripada sikap cintakan dunia dan kebendaan dan tidak mempunyai keyakinan kepada ketetapan dan peraturan yang Allah telah berikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah.

Sesetengah pihak menyarankan agar sistem kekeluargaan dan sistem perwarisan dirombak untuk menyesuaikan dengan zaman moden dengan mencadangkan agar bahagian lelaki diberikan sama banyak dengan bahagian wanita. Mereka seterusnya mencadangkan juga agar wanita (isteri) hendaklah bertanggungjawab dalam memberi nafkah anak-anak dan menyediakan perbelanjaan isirumah serta lain-lain perbelanjaan termasuk pendidikan anak-anak. Malah inilah yang telah berlaku di barat. Sehubungan dengan ini, amatlah wajar bagi setiap orang menyedari bahawa Allah lebih mengetahui tentang perkara yang berkaitan dan sebijak mana pun manusia mereka tidak dapat menandingi ilmu Allah. Berhubung dengan harta pusaka, Al-Quran menyatakan “ ....Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi MahaBijaksana” (An-Nisa : 11). Seterusnya Al-Quran menyatakan, “....(Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi MahaPenyantun” (An-Nisa : 12).

Teliti

Perlu diingatkan bahawa Al-Quran bukan sahaja menyatakan dengan jelas hak wanita yang terdekat iaitu ibu, isteri dan anak perempuan, tetapi juga menyatakan bahagian-bahagian untuk kaum wanita yang lain iaitu saudara perempuan. Al-Quran juga memperuntukkan hak saudara-saudara perempuan dalam keadaan-keadaan tertentu; sebagai contoh, jika simati tidak mempunyai anak. Sehubungan dengan ini Al-Quran menyatakan “Mereka meminta fatwa kepadamu tentang kalalah. Katakanlah :"Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu) : jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang,maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudaralaki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” (An-Nisa : 176)

Ayat ini menunjukkan kepada kita seolah-olah saudara perempuan mengambil tempat anak perempuan jika simati tidak mempunyai anak perempuan. Walaubagaimanapun, para ulama kita menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan “saudara lelaki” dan “saudara perempuan” ialah saudara sekandung; iaitu saudara seibu sebapa. Jika tiada saudara kandung, ianya diertikan kepada saudara sebapa. Ayat tersebut tidak berlaku kepada saudara (lelaki atau perempuan) seibu kerana hak-hak saudara perempuan seibu sebapa telah dinyatakan dalam ayat 12 Surah An-Nisa: “..........Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). .......” (An-Nisa : 12)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home