Tuesday, January 31, 2006

7. Hak Wanita dalam Sistem Pewarisan Islam

Hak Wanita dalam Sistem Pewarisan Islam

Dalam bahagian sebelum ini (bahagian ketiga), kita membicarakan bagaimana sebelum kedatangan Islam, anak-anak perempuan, malah semua perempuan, termasuk isteri dan ibu, tidak layak menerima warisan atau harta pusaka. Sebaliknya, orang lelaki dewasa sahaja yang boleh mewarisi; itupun hanya mereka yang mampu menggunakan panah dan menunggang kuda, yang layak menerima harta pusaka.

Kemudian ayat berikut diturunkan untuk menjelaskan bahawa Islam mengiktiraf wanita dan memberikan mereka hak untuk mempusakai harta. Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (An-Nisa : 7)

Pengiktirafan wanita dan hak mereka mewarisi ini dirakamkan oleh dua buah hadis Rasulullah s.a.w yang kemungkinan berlaku pada waktu yang hampir sama, iaitu tidak lama selepas perang Uhud. Menurut satu riwayat, sebab turunnya ayat ini adalah kerana seorang Ansar yang bernama Aus bin Thabit al-Ansari telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri yang bernama Ummu Kahlah, tiga orang anak perempuan dan dua orang saudara lelaki yang bernama Suwaid dan ‘Arfajah. Ummu Kahlah telah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Ya Rasulullah! Aus bin Thabit telah meninggal dunia. Dia meninggalkan 3 orang anak perempuan dan seorang isteri iaitu saya. Saya tidak mempunyai suatu apa pun untuk mereka, padahal harta pusaka yang ditinggalkan boleh dikatakan banyak. Tetapi telah dikuasai oleh Suwaid dan ‘Arfajah. Sedikit pun mereka tidak memberikannya kepada kami sehinggakan anak-anak yang dalam jagaan saya itu tidak makan dan tidak minum”

Rasulullah s.a.w telah memanggil keduanya dan bertanyakan hal tersebut. Mereka menjawab, “Ya Rasulullah! Anak dia tidak tahu menunggang kuda, tidak berdaya menanggung beban dan tidak dapat menewaskan musuh. Kamilah yang berhak kepada pusaka, bukan dia.”

Sebab-sebab turunnya ayat

Kemudian ayat tersebut diturunkan untuk menjelaskan bahawa bukan orang lelaki sahaja layak menerima harta pusaka, sebaliknya orang perempuan juga berhak menerima pusaka. Cuma yang berbeza samada banyak atau sedikit. Berbalik kepada peristiwa di atas, setelah mendengar jawapan mereka, Rasulullah s.a.w berkata, “Janganlah kamu bahagikan harta Aus itu sedikitpun kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian anak-anaknya dari peninggalannya, dan ini belum lagi diterangkan”

Namun ayat tersebut belum lagi menerangkan secara jelas bahagian-bahagian pusaka yang layak diterima oleh wanita. Kemudian barulah ayat-ayat berikut diturunkan, yang menerangkan dengan panjang lebar tentang pembahagian harta pusaka. Al-Quran menyatakan:“Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bahagikan mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan ...” (An-Nisa : 11)

Seterusnya Al-Quran menyatakan“ ...Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan... (An-Nisa : 12)

Menurut satu lagi riwayat, antara sebab turunnya ayat di atas adalah mengenai isteri Sa’ad bin Rabi’. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir, katanya : isteri Sa’ad bin Rabi’ telah menemui Rasulullah s.a.w dan berkata, “Ya Rasulullah, ini adalah dua orang anak perempuan Sa’ad bin Rabi’. Bapa budak-budak ini telah mati syahid kerana ikut bertempur bersama tuan hamba di Uhud. Bapa saudara mereka berdua telah mengambil harta mereka sehingga tidak ada yang ditinggalkannya untuk mereka. Kedua-dua budak ini tidak dapat berkahwin kecuali mereka ada harta.”Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda “Allah akan memutuskan perkara ini.”

Selepas turunnya ayat mawarith, Rasulullah s.a.w. mengutus kepada bapa saudara mereka dan bersabda " Berikan dua-pertiga kepada kedua anak perempuan Sa`ad dan seperlapan kepada ibu mereka dan selebihnya untuk kamu”.

Keprihatinan Islam

Sehubungan dengan ini kita dapati Islam memberikan beberapa hak kepada wanita. Malah Al-Quran sendiri dengan jelas memberikan bahagian hak kepada wanita terutama anak perempuan, ibu dan isteri walaupun agak terbatas. Dalam kes di atas, lebihan daripada harta pusaka, setelah ditolak bahagian isteri dan dua orang anak perempuan, diberikan kepada saudara lelaki Sa`d bin Ar-Rabi`. Ini adalah kerana saudara lelaki merupakan ‘asabah’ (akan diterangkan dalam bahagian ‘asabah) yang menghabiskan lebihan harta pusaka.

Mungkin ada di antara pembaca yang terkejut kerana dalam kes tersebut bahagian saudara melebihi daripada bahagian isteri. Malah dalam keadaan tertentu bahagian saudara lelaki melebihi bahagian isteri sehingga tiga kali ganda. Sebagai contoh, katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang saudara lelaki. Dalam keadaan ini, merujuk kepada ayat 11 dan 12 Surah An-Nisa, isteri akan mendapat satu perlapan, seorang anak perempuan setengah dan selebihnya, iaitu tiga perlapan adalah bahagian saudara lelaki. Bahagian waris seperti kes diatas digambarkan seperti berikut :

Waris terdiri daripada seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang saudara lelaki
Waris terdiri daripada seorang isteri, dua orang anak perempuan dan seorang saudara lelaki

0 Comments:

Post a Comment

<< Home