Tuesday, January 31, 2006

6. Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam

Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam

Dari pihak perempuan

Anak perempuan
Cucu perempuan dari anak lelaki dan terus ke bawah
Ibu
Nenek sebelah bapa dan ke atas
Nenek sebelah ibu dan ke atas
Saudara perempuan sekandung
Saudara perempuan sebapa
Saudara perempuan seibu
Isteri

Sehubungan dengan ini, jika kesemua waris ada, yang berhak menerima pusaka hanya suami atau isteri, ibu, bapa, anak lelaki dan anak perempuan sementara yang lain tidak dapat mewarisi. Waris-waris yang lain, yang berada diluar bulatan pertama dihijab atau di dinding oleh lima waris ini. (Perbincangan mengenai hijab akan dibincangkan pada siri-siri akan datang). Gambarajah dibawah menunjukkan lima waris utama yang berhak menerima pusaka jika semua waris berkumpul.


Bahagian yang telah ditetapkan Sebenarnya ilmu faraid tidaklah susah; asasnya boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajarinya. Cuma, apabila kita sampai ketahap yang lebih mendalam, barulah kita mendapati perkara yang berkaitan dengan faraid agak sukar diselesaikan. Untuk kes-kes biasa, di mana simati meninggalkan waris-waris utama iaitu suami atau isteri, ibu bapa dan anak-anak, tidaklah sukar. Kedua-dua ayat al-Quran di atas, iaitu ayat 11 dan ayat 12 Surah An-Nisa dapat dijadikan panduan. Berdasarkan kepada ayat-ayat dan gambarajah di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa pada amnya ibu bapa mendapat 1/6 daripada harta pusaka, isteri mendapat ¼ jika suami yang meninggal tidak meninggalkan anak dan 1/8 jika suami yang meninggal ada meninggalkan anak. Begitu pula suami mendapat 1/2 jika isteri yang meninggal tiada meninggalkan anak dan 1/4 jika isteri yang meninggal ada meninggalkan anak. Baki daripada harta pusaka adalah untuk anak-anak dimana anak lelaki mendapat dua kali ganda bahagian anak perempuan. Jadual berikut memberikan penerangan mengenai perkara ini.

Waris Bahagian Kenyataan didalam Al-Quran*
Suami 1/2 Jika isteri tidak ada meninggalkan anak
1/4 Jika isteri ada meninggalkan anak
Isteri 1/4 Jika suami tidak ada meninggalkan anak
1/8 Jika suami ada meninggalkan anak
Anak perempuan 1/2 Jika seorang sahaja dan tiada anak lelaki
2/3 Jika lebih daripada seorang dan tiada anak lelaki
Ibu 1/3 Jika yang tinggal ibu dan bapa sahaja
1/6
Bapa 1/6

Ulama ada membuat penafsiran mengenai kenyataan-kenyataan tersebut tetapi disini diterjemahkan secara literal sahaja. Bahagian-bahagian akan datang akan menjelaskan dengan lebih terperinci.

Cara penyelesaian Sebagai contoh, katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan ibu, bapa, isteri, seorang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Maka disini ibu bapa masing-masing akan mendapat 1/6 setiap seorang, isteri mendapat 1/8 (kerana suami meninggal ada meninggalkan anak) dan bakinya adalah untuk anak-anak dibahagikan mengikut kadar 2:1 bagi lelaki : perempuan. Cara untuk menyelesaikan masalah untuk kes-kes seperti di atas adalah seperti berikut :

1. Berikan bahagian suami/isteri jika ada
2. Berikan bahagian ibu jika ada
3. Berikan bahagian bapa jika ada
4. Campurkan semua, katakan jawapannya S
5. Tolak daripada 1 (iaitu 1-S) dan dapatkan baki, katakan B
6. Ambil bilangan anak lelaki dan darab dua, katakan 2b
7. Campurkan dengan bilangan anak perempuan, katakan p
8. Bahagian setiap anak lelaki = 2/(2b+p) X B
9. Bahagian setiap anak perempuan = 1/(2b+p) X B

Untuk mendapatkan S, kita hendaklah mencari gandaan sepunya terkecil (GSTK) bagi jumlah bahagian-bahagian suami/isteri, ibu dan bapa. Untuk kes di atas, GSTK ialah 24 kerana 24 adalah gandaan terkecil yang boleh dibahagi oleh 6, (iaitu penyebut bagi bahagian ibu dan bapa) dan 8, iaitu penyebut bagi bahagian isteri. Jadi, 1/6 bersamaan dengan 4/24 dan 1/8 bersamaan dengan 3/24. Maka S ialah :

S = 1/6 + 1/6 + 1/8 = 4/24 + 4/24 + 3/24 = 11/24

Maka baki B yang boleh dibahagikan kepada anak-anak ialah 1 – 11/24 = 13/24.

Untuk mendapatkan bahagian setiap anak lelaki dan perempuan, darab bilangan anak lelaki dengan 2 dan tambah dengan bilangan anak perempuan iaitu 1 X 2 + 3 = 5. Maka bahagian anak lelaki ialah 2/5 X 13/24 dan bahagian setiap anak perempuan ialah 1/5 X 13/24. Penyelesaian sepenuhnya adalah seperti berikut :

Bahagian anak lelaki ialah : 2/5 X 13/24 = 26/120

Bahagian setiap anak perempuan ialah : 1/5 X 13/24 = 13/120

Bahagian ibu dan bapa masing-masing ialah 1/6 = 4/24 = 20/120

Bahagian isteri ialah 1/8 = 3/24 = 15/120

Gambar rajah berikut memberikan gambaran penyelesaian kepada masalah tersebut.



Kaedah di atas juga boleh digunakan asalkan terdapat anak lelaki dan anak perempuan. Katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Dalam kes ini, berdasarkan kepada ayat 12, isteri mendapat 1/8. Jadi bakinya ialah 7/8. Anak lelaki akan mendapat dua kali ganda anak perempuan. Berdasarkan kepada keadah di atas, anak lelaki akan mendapat 2/3 X 7/8 iaitu 14/24 dan anak perempuan akan mendapat 1/3 X 7/8 = 7/24.
Gambar rajah berikut memberikan gambaran penyelesaian kepada masalah tersebut.

Sebagai contoh yang lain, mungkin pembaca boleh menyelesaikan masalah berikut. Katakan seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan isteri, bapa, dua orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. Berapakah bahagian isteri dan setiap anak lelaki dan perempuan?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home