Tuesday, January 31, 2006

5.Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam

Pembahagian Harta Pusaka Dalam Islam

Pengurusan pewarisan dalam Islam sangat penting terutama dalam zaman moden ini dimana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran baru. Antara cabarannya ialah kecenderungan masyarakat kita yang mementingkan kebendaan sehingga boleh mencetuskan pertikaian, perbalahan, pergaduhan serta permusuhan di antara suami isteri, ibu bapa, anak beranak, saudara mara atau sebagainya. Apabila kebendaan dijadikan kayu ukur utama, krisis keluarga lebih mudah berlaku dan rumah tangga mudah menjadi porak peranda.

Krisis keluarga akibat kepentingan kebendaan bertambah parah dengan tiadanya kefahaman masyarakat kita tentang ilmu pembahagian harta pusaka atau apa yang disebut sebagai ilmu faraid.

Ini adalah kerana ilmu faraid merupakan ilmu yang mula-mula diangkat dari umat manusia. Sehubungan dengan ini Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Hendaklah kamu pelajari ilmu faraidh, maka sesungguhnya ilmu faraidh adalah suruhan dari agama kamu dan bahawasanya ilmu faraidh adalah seperdua daripada ilmu dan yang mula-mula dicabut dari umatku.”(Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya ilmu faraid itu dicabut bukan dengan dicabut dari manusia tetapi dengan kematian para ulama yang boleh membicarakannya. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w :

“Allah s.w.t tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah s.w.t mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula ” (Mutafaq ‘alaih)

Seperdua daripada ilmu

Sesungguhnya pada masa ini tidak ramai dikalangan ulama kita yang mahir dalam ilmu faraid jika dibandingkan dengan ilmu fiqh lain seperti solat, puasa dan lain-lain sedangkan hadis yang pertama di atas menerangkan tentang betapa pentingnya ilmu faraid sehinggakan di anggap sebagai seperdua daripada ilmu. Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Hendaklah kamu pelajari ilmu faraid dan kamu ajarkan kepada manusia, maka sesungguhnya akulah orang yang didalam genggaman Allah dan bahawa ilmu faraid itu kelak akan digenggam dan akan nyata beberapa fitnah sehingga berselisih dua orang mengenai faraid, maka kedua-duanya tidak memperolehi orang yang menghukumkan dan menyelesaikan perselisihan di antara keduanya.” (Ibnu Majah)

Hadis-hadis di atas nampaknya memperkatakan apa yang sedang berlaku pada masa ini kerana tidak ramai dikalangan ulama kita yang mahir dalam bidang faraid. Malah tidak banyak surau atau masjid yang membicarakan tentang ilmu faraid sebaliknya kuliah-kuliah yang diadakan di kebanyakkan masjid berputar disekitar rukun Islam yang lima. Rata-rata seseorang yang ingin mengetahui tentang ilmu faraid terpaksa menunggu seminar atau bengkel yang jarang sekali di adakan. Ini adalah kerana untuk memahami ilmu faraid, seseorang itu harus menggarap dengan baik ilmu usul dan ilmu hisab sekali gus.

Pemahaman terhadap faraid

Mungkin kurangnya kefahaman tentang ilmu faraid membuat sebahagian umat Islam memberikan komen yang negatif terhadap ilmu faraid. Sebaliknya mereka yang faham tentang ilmu faraid telah memberikan komen yang baik walaupun mereka terdiri daripada orientalis yang sentiasa mencari jalan untuk memperlecehkan hukum Islam. Sebagai contoh, seorang orientalis yang bernama Rumsey menyatakan ”Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamadun” Sementara itu, seorang lagi orientalis, Professor N. J. Coulson yang pernah mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menyatakan, Undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam merupakan suatu pencapaian teknikal yang mantap dan sayugianyalah ilmuan Islam berasa bangga dalam ketepatan matematik dalam menentukan hak mana-mana waris, dalam keadaan apa sekalipun, boleh ditentukan.”

Waris-waris yang berhak menerima harta pusaka

Kepentingan ilmu faraid mendapat tempat di dalam Al-Quran; yang mana Al-Quran sendiri menerangkan dengan agak panjang lebar tentang pembahagian harta pusaka sedangkan ianya bukan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Menurut seorang mufassirin yang terkenal, Imam Ibnu Kathir, terdapat tiga ayat utama di dalam Al-Quran yang menerangkan tentang pembahagian harta pusaka iaitu di dalam surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176. Dalam ayat 11 Allah berfirman :

“Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh seperdua harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa'atnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (4:11)

Seterusnya dalam ayat 12 Al-Quran menyatakan :

“Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dariharta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) seduah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.” (4:12)

Kedua-dua ayat tersebut menerangkan dengan panjang lebar tentang bahagian-bahagian yang diperuntukkan kepada ibu, bapa, serta isteri atau suami. Ayat 12 juga menerangkan bahagian saudara kandung seibu, samada lelaki atau perempuan. Walaupun kedua-dua ayat tersebut agak jelas, namun kefahaman tentang ilmu faraid itu bergantung daripada satu lagi sumber syariah : iaitu As-Sunnah atau dikenali juga dengan Al-Hadis. Berdasarkan kepada Al-Quran, Al-Hadis serta pandangan dan pendapat sahabat, para ulama telah membuat beberapa rumusan bagi memudahkan orang awam seperti kita untuk mengetahui tentang pembahagian harta pusaka menurut Islam. Mereka menyatakan waris-waris yang layak menerima harta pusaka adalah seperti berikut :

Dari pihak lelaki

Anak lelaki
Cucu lelaki dari anak lelaki
Bapa
Datuk sebelah bapa ke atas
Saudara sekandung
Saudara seayah
Saudara seibu
Anak lelaki dari saudara sekandung
Anak lelaki dari saudra seayah
Bapa saudara (sebelah ayah) yang sekandung dengan ayah si mati.
Bapa saudara (sebelah ayah) yang sebapa dengan ayah si mati.
Anak lelaki daripada bapa saudara sekandung (sebelah ayah).
Anak lelaki daripada bapa saudara sebapa (sebelah ayah)
Suami

0 Comments:

Post a Comment

<< Home