Tuesday, January 31, 2006

4 .Sistem Pewarisan Selepas Kedatangan Islam

SISTEM PEWARISAN SELEPAS KEDATANGAN ISLAM

Akhirnya datang Islam dengan undang-undang dan sistem-sistem yang sempurna untuk menerangi seluruh kegelapan dan membawa manusia ke jalan yang lurus lagi benar.Namun untuk menerapkan kesempurnaan yang di bawa bukanlah sesuatu yang mudah kerana masyarakat ketika itu telah sebati dengan amalan dan warisan peninggalan nenek moyang mereka.

Secara berperingkat-peringkat sistem pewarisan diperkenalkan sebagaimana juga ketika larangan terhadap meminum minuman keras di lakukan. Sebagai langkah pertama, mereka dibiarkan dengan sistem pewarisan yang terdahulu dan apa yang di utamakan adalah dari sudut aqidah dan tauhid.Sehinggalah Rasulullah s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah dan disanalah baginda mahukan terbinanya sebuah masyarakat yang berpegang teguh pada nilai-nilai murni yang merangkumi adat, pergaulan dan juga akhlak.

Lantas baginda mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin serta menjadikan persaudaran ini sebagai salah satu diantara sebab-sebab pewarisan.Ini adalah kerana golongan Muhajirin telah terputus hubungan dengan kaum keluarga dan sanak saudara mereka termasuklah mereka yang memeluk Islam tetapi tidak berhijrah.Pewarisan sebegini hanya tertumpu di kalangan orang-orang Islam di Madinah sahaja, manakala mereka yang memeluk Islam tetapi tidak berhijrah (masih tinggal di Mekah) tidak dibolehkan untuk mewarisi waris mereka yang berhijrah.

Maka turunlah Al-Quran untuk menjelaskan tentang persaudaraan dan pewarisan ini yang terbina dengan kalimah “La ila ha ila Allah”.Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal (ayat 72) yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat tinggal dan pertolongan, mereka itu antara satu sama lain lindung-melindungi.Dan orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah maka tiada kewajipan sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah.Akan tetapi jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam urusan pembelaan agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka.Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”.

Perkataan “Walayah” dalam ayat tersebut membawa maksud perwarisan yang terbentuk disebabkan oleh “persaudaraan hukmiyah” diantara kaum Muhajirin dan Ansar.Mereka mewarisi antara satu sama lain sehinggalah Allah s.w.t memansuhkan ayat tersebut setelah keadaan Islam stabil.

Apabila Islam telah berdiri kukuh dengan pembukaan Kota Mekah serta Islam telah menjadi agama anutan orang ramai, maka Allah memansuhkan pewarisan berbentuk demikian dan kembalilah sistem pewarisan Islam kepada keadaan asalnya.Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal (ayat75) yang bermaksud “Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian berhijrah dan berjihad bersamamu, maka orang-orang itu termasuk golonganmu jua.Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada orang yang bukan dari kerabatnya) di dalam kitab Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Keadaan yang sama juga dijelaskan oleh Allah dalam Surah Al-Ahzab (ayat 6) yang bermaksud “Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang mukmin dan orang-orang Muhajirin kecuali kalau kamu mahu berbuat baik kepada saudara-saudaramu(seagama).Adalah yang demikian telah tertulis di dalam Kitab Allah”.

Seterusnya Islam membatalkan pewarisan yang melibatkan anak atau keluarga angkat sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Ahzab (ayat 40) yang bermaksud “Muhamad itu sekali-kali bukanlah bapa seorang lelaki diantara kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan Nabi yang terakhir.Dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu”.

Pada zaman permulaan Islam, orang-orang Islam di berikan hak sepenuhnya untuk menulis wasiat, dengan syarat wasiat tersebut hendaklah ditujukan kepada ibu-bapa dan sanak saudara.Namun kemudiannya Islam telah mengenakan syarat, wasiat hanyalah kepada bukan waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan.

Begitu juga Islam telah menghapuskan adat buruk masyarakat Arab Jahiliyyah iaitu melarang kaum wanita dan kanak-kanak dari mendapat pembahagian harta pusaka.Islam mengiktiraf hak wanita dan kanak-kanak dan meletakkan mereka di dalam golongan orang-orang yang berhak menerima harta pusaka.Sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa (ayat 7) yang bermaksud “Bagi lelaki ada bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada bahagian dari peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya,baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang ditetapkan”.

Begitulah pendekatan Islam yang berperingkat-peringkat dalam mensyariatkan sistem pewarisan yang lengkap dan sempurna untuk menjamin keadilan dan kesejahteraan umat manusia di dunia mahupun di akhirat.Pembaharuan tersebut dijelaskan oleh Allah dalam Al-Quran (Surah An-Nisaa’ ayat 11-12) dengan jelas dan terang untuk membuktikan bahawasanya Islam adalah sebuah agama yang merangkumi segala aspek kehidupan.

Sistem pewarisan Islam telah membawa beberapa pembaharuan dimana golongan wanita, kanak-kanak telah diiktiraf dan diberikan hak dalam pembahagian harta pusaka.Perakuan hak untuk mewarisi harta pusaka setiap waris dari kedua-dua susur galur lelaki dan wanita serta merangkumi semua lapisan waris tidak kira tua atau muda, besar atau kecil bahkan sehingga janin dan bayi dalam kandungan.

Ini adalah kerana Islam memartabatkan kedudukan wanita dan sumbangan mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara.Hak memperolehi bahagian harta pusaka ditentukan berasaskan hubungan kerabat, akad perkahwinan dan akidah yang sama.Susunan institusi kekeluargaan di dalam Islam adalah berkait rapat dengan sistem pewarisan.Ini memandangkan masyarakat terbina di atas beberapa unit keluarga dan Islam amat menghargai peranan yang di mainkan oleh setiap ahli keluarga.Lantaran itu hak untuk mewarisi diberikan kepada anggota keluarga yang terdekat dengan simati dan mereka yang menuntut harta pusaka mestilah membuktikan bahawa mereka adalah layak dan sah mewarisi tanpa dihalang oleh sebarang faktor. Sistem pewarisan Islam mengenakan peraturan yang ketat di dalam pembahagian pusaka di mana kadar minimum 2/3 dari harta pusaka adalah tertakluk kepada mekanisma faraid.Selebihnya adalah tertakluk kepada penyelesaian transaksi-transaksi lain seperti wasiat, hibah, wakaf dan sebagainya.Pemilikan merupakan hubungan yang dikaitkan antara manusia dan harta, dengan pemilikan manusia mempunyai hak untuk melakukan sesuatu yang difikirkan perlu keatas harta tersebut.Apabila hubungan ini terjalin, manusia dinamakan pemilik manakala harta pula dinamakan sebagai sesuatu yang dimiliki.Sudah menjadi tabiat semulajadi manusia, mengumpul dan menambah harta kekayaan, manusia juga memerlukan harta selagi hayat masih dikandung badan.Apabila manusia menemui ajal maka hak pemilikannya turut lenyap dan luput.Adalah menjadi satu keperluan untuk mendapatkan pemilik baru sebagai ganti bagi mengurus harta yang ditinggalkan dan memperolehi faedah-faedah daripada harta peninggalan tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home