Tuesday, January 31, 2006

3. Sejarah Sistem Pewarisan Sebelum Kedatangan Islam

SEJARAH SISTEM PEWARISAN SEBELUM KEDATANGAN ISLAM

Perkataan waris berasal dari bahasa Arab mirath tetapi didalam bahasa Melayu, huruf `tha` diganti dengan huruf s dalam ejaan rumi. Dalam bahasa Arab bentuk jamak daripada waris ialah mawarith yang bererti harta peninggalan si mati yang akan dibahagikan kepada ahli warisnya. Ilmu yang berkaitan dengan pewarisan disebut dengan ilmu mawarith yang lebih dikenali dengan ilmu faraidh. Ini bererti ilmu faraidh atau ilmu pewarisan membicarakan tentang harta warisan atau harta pusaka seseorang.

Harta memainkan peranan yang besar di dalam kehidupan manusia dan menjamin keutuhan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Harta pusaka menurut perspektif Islam meliputi semua harta atau kepentingan yang bersifat harta yang boleh dimiliki oleh seseorang dengan kematian pewarisnya. Harta boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu harta alih seperti wang simpanan dan harta tak alih seperti hartanah dan sebagainya.

Sistem pewarisan merupakan satu sistem yang lahir dari fitrah semulajadi manusia dan ianya menjadikan orang yang kemudian mewarisi apa jua warisan dari orang yang terdahulu. Sistem ini juga terdapat di dalam agama-agama yang terdahulu yang muncul sebelum kedatangan Islam, setiap bangsa juga mempunyai sistem pewarisan tertentu yang berbeza dari sistem pewarisan bangsa lain.

Sebelum Kedatangan Islam

Masyarakat Arab pada suatu ketika dahulu, hidup berpindah-randah (nomad) dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk memenuhi tuntutan kehidupan seperti air dan makanan binatang ternakan. Perpindahan ini tidak dapat dielakkan untuk mencari kawasan yang subur demi meneruskan kelangsungan hidup.

Pada zaman Jahiliyyah, yakni sebelum kedatangan Islam, kaum wanita (anak-anak perempuan, isteri, ibu-ibu dan waris perempuan yang lain) langsung tidak di berikan hak dalam pembahagian harta pusaka. Ianya hanya berlegar di kalangan kaum lelaki sahaja dan tidak diselang seli oleh susur galur wanita.

Demikian juga halnya dengan kanak-kanak yang belum baligh tidak diberikan hak dalam pembahagian harta pusaka.

Alasan yang diberikan untuk tidak memberikan hak kepada kaum wanita dan kanak-kanak adalah kerana mereka tidak mampu untuk berperang dan tidak berupaya untuk melindungi kaum keluarga dari ancaman musuh. Ini kerana masyarakat Jahiliyah ketika itu hidup berpuak-puak dan amat kuat sikap kesukuan mereka dan pergaduhan sering tercetus di antara satu sama lain.

Lantaran sikap gemar berbalah dan berperang, mengakibatkan masyarakat Arab Jahiliyah amat bergantung kepada kaum lelaki yang gagah perkasa untuk melindungi kaum keluarga dan maruah suku kaumnya.

Atas faktor-faktor tersebut, lahirlah satu sistem pewarisan yang hanya mengutamakan kaum lelaki yang di anggap sebagai benteng sesuatu suku kaum. Manakala kaum yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak tidak di berikan hak dalam pembahagian harta pusaka kerana dianggap tidak mampu untuk melindungi suku kaum bahkan terpaksa pula dilindungi.

Ciri-ciri Pewarisan

Ciri-ciri pewarisan masyarakat Arab Jahiliyyah adalah berlandaskan persaudaraan.Namun persaudaraan sahaja tidak mencukupi tanpa ciri-ciri tambahan seperti jantina, yang mana di syaratkan seorang waris yang berhak untuk mendapat bahagian daripada harta pusaka ialah lelaki bukannya wanita.Cukup umur dan mampu untuk memikul senjata, juga merupakan syarat yang kedua dan semestinya waris mampu untuk mempertahankan suku kaumnya. Jika simati meninggalkan anak lelaki yang belum cukup umur dan saudara lelaki yang gagah perkasa, maka harta tersebut akan diwarisi oleh saudara lelaki tersebut.Sumpah dan akujanji turut menjadi ciri perwarisan di kalangan mereka Ini adalah antara amalan yang biasa di lakukan oleh kaum lelaki masyarakat Arab Jahiliyyah.Antara akad yang biasa dilafazkan ialah “darahku darahmu, kamu akan mewarisi aku dan aku akan mewarisimu, kamu boleh meminta dariku dan aku akan meminta darimu”, apabila di persetujui oleh pihak kedua maka mereka akan mewarisi antara satu sama lain.Ciri yang ketiga ialah anak atau keluarga angkat. Amalan ini sudah menjadi satu kebiasaan pada zaman Jahiliyyah dan ianya juga kekal sehingga ke hari ini, Rasullullah s.a.w juga turut mempunyai seorang anak angkat iaitu Zaid bin Harith yang juga dinamakan sebagai Zaid bin Muhammad. Anak atau keluarga angkat ini akan mewarisi antara satu sama lain sehinggalah amalan pewarisan tersebut ditegah oleh Islam.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Ahzab (ayat ke-5) yang bermaksud “Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan menggunakan nama bapa mereka, itulah yang lebih adil pada sisi Allah dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara seagama denganmu.Dan tiada dosa keatasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya tetapi yang berdosa adalah apa yang disengaja oleh hatimu.Dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” .

Selepas kedatangan Islam

Akhirnya datang Islam dengan undang-undang dan sistem-sistem yang sempurna untuk menerangi seluruh kegelapan dan membawa manusia ke jalan yang lurus lagi benar.Namun untuk menerapkan kesempurnaan yang di bawa bukanlah sesuatu yang mudah kerana masyarakat ketika itu telah sebati dengan amalan dan warisan peninggalan nenek moyang mereka.

Secara berperingkat-peringkat sistem pewarisan diperkenalkan sebagaimana juga ketika larangan terhadap meminum minuman keras di lakukan. Sebagai langkah pertama, mereka dibiarkan dengan sistem pewarisan yang terdahulu dan apa yang di utamakan adalah dari sudut aqidah dan tauhid.Sehinggalah Rasulullah s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah dan disanalah baginda mahukan terbinanya sebuah masyarakat yang berpegang teguh pada nilai-nilai murni yang merangkumi adat, pergaulan dan juga akhlak.

Lantas baginda mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin serta menjadikan persaudaran ini sebagai salah satu diantara sebab-sebab pewarisan.Ini adalah kerana golongan Muhajirin telah terputus hubungan dengan kaum keluarga dan sanak saudara mereka termasuklah mereka yang memeluk Islam tetapi tidak berhijrah.Pewarisan sebegini hanya tertumpu di kalangan orang-orang Islam di Madinah sahaja, manakala mereka yang memeluk Islam tetapi tidak berhijrah (masih tinggal di Mekah) tidak dibolehkan untuk mewarisi waris mereka yang berhijrah.

Maka turunlah Al-Quran untuk menjelaskan tentang persaudaraan dan pewarisan ini yang terbina dengan kalimah “La ila ha ila Allah”.Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal (ayat 72) yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat tinggal dan pertolongan, mereka itu antara satu sama lain lindung-melindungi.Dan orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah maka tiada kewajipan sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah.Akan tetapi jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam urusan pembelaan agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka.Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”.

Perkataan “Walayah” dalam ayat tersebut membawa maksud perwarisan yang terbentuk disebabkan oleh “persaudaraan hukmiyah” diantara kaum Muhajirin dan Ansar.Mereka mewarisi antara satu sama lain sehinggalah Allah s.w.t memansuhkan ayat tersebut setelah keadaan Islam stabil.

Apabila Islam telah berdiri kukuh dengan pembukaan Kota Mekah serta Islam telah menjadi agama anutan orang ramai, maka Allah memansuhkan pewarisan berbentuk demikian dan kembalilah sistem pewarisan Islam kepada keadaan asalnya.Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal (ayat75) yang bermaksud “Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian berhijrah dan berjihad bersamamu, maka orang-orang itu termasuk golonganmu jua.Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada orang yang bukan dari kerabatnya) di dalam kitab Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Keadaan yang sama juga dijelaskan oleh Allah dalam Surah Al-Ahzab (ayat 6) yang bermaksud “Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang mukmin dan orang-orang Muhajirin kecuali kalau kamu mahu berbuat baik kepada saudara-saudaramu(seagama).Adalah yang demikian telah tertulis di dalam Kitab Allah”.

Seterusnya Islam membatalkan pewarisan yang melibatkan anak atau keluarga angkat sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Ahzab (ayat 40) yang bermaksud “Muhamad itu sekali-kali bukanlah bapa seorang lelaki diantara kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan Nabi yang terakhir.Dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu”.

Pada zaman permulaan Islam, orang-orang Islam di berikan hak sepenuhnya untuk menulis wasiat, dengan syarat wasiat tersebut hendaklah ditujukan kepada ibu-bapa dan sanak saudara.Namun kemudiannya Islam telah mengenakan syarat, wasiat hanyalah kepada bukan waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan.

Begitu juga Islam telah menghapuskan adat buruk masyarakat Arab Jahiliyyah iaitu melarang kaum wanita dan kanak-kanak dari mendapat pembahagian harta pusaka.Islam mengiktiraf hak wanita dan kanak-kanak dan meletakkan mereka di dalam golongan orang-orang yang berhak menerima harta pusaka.Sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa (ayat 7) yang bermaksud “Bagi lelaki ada bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada bahagian dari peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya,baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang ditetapkan”.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home