Tuesday, January 31, 2006

2. Mengapa perlu merancang

Mengapa perlu merancang

Rasullullah s.a.w. juga berpesan agar kita agar merancang untuk masa depan, termasuk perancangan harta. Sehubungan dengan ini Rasulullah bersabda, “Gunakan lima sebelum lima; masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati”. Ini bermakna kita harus menggunakan kesempatan yang ada sebelum kesempitan yang menimpa; yang mana harta kekayaan yang ada digunakan sebaik mungkin sebelum kekayapan yang menjelang tiba. Pesanan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberitahu kita agar membuat perancangan yang sewajarnya.

Perancangan harta juga secara tidak langsung dinyatakan oleh Al-Quran melalui satu ayat yang menyuruh kita membuat pelaburan. Al-Quran menyatakan, “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik”. (An-Nisa : 5) Turunnya ayat ini ditujukan kepada semua penjaga harta anak yatim dan menurut setengah mufassirin, yang dimaksudkan dengan safih (belum sempurna akal) disini ialah orang yang yang membazirkan hartanya atau tidak betul membelanjakannya – samada ia kanak-kanak ataupun orang dewasa. Menurut mereka lagi, adalah wajib bagi penjaganya menahan harta tersebut daripadanya supaya tidak sia-sia. Seterusnya mereka mengatakan harta mereka baru boleh diserahkan jika mereka bijak mengendalikannya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa merancang harta adalah penting terutama dalam zaman moden ini dimana pengurusan harta memerlukan perancangan yang baik memandangkan terdapat banyak godaan yang mengajak kita untuk berbelanja berlebihan seperti tawaran-tawaran jualan, diskaun, penggunaan kad kredit dan sebagainya.

Adalah menarik direnungkan bahawa ramai di antara mufassirin menghuraikan fiiha (dari hasil harta itu) digunakan didalam ayat di atas dan bukannya perkataan minha (daripada harta itu) untuk mengisyaratkan bahawa perbelanjaan itu hendaklah diambil daripada keuntungan harta yang dilaburkan dan bukan daripada harta pokok yang dibekukan begitu sahaja. Sesungguhnya membiarkan harta dibekukan sahaja tidak memerlukan perancangan, tetapi untuk mendatangkan hasil atau pulangan pelaburan yang baik memerlukan perancangan seperti mengambilkira risiko dan pulangan pelaburan, mempelbagaikan pelaburan dan lain-lain tindakan.

Dalam ayat yang berikutnya, iatu ayat 6 daripada surah yang sama, Allah menyatakan, “Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya. Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (diantara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut. Kemudian apabila kamu menyerahkan harta kepada mereka, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (tentang penyerahan itu) bagi mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (atas persaksian itu).”

Menurut satu riwayat, sebab turunnya ayat tersebut adalah mengenai Thabit bin Rifa’ah yang masih kecil yang dijaga oleh bapa saudaranya selepas kematian bapanya, Rifa’ah. Bapa saudaranya telah datang bersamanya kepada Rasulullah dan berkata, “Anak saudara saya yang yatim dalam jagaan saya, tiadalah halal bagi saya untuk membelanjakan hartanya, bilakah masanya saya menyerahkannya?. Maka turunlah ayat ini. Mufassirin menyatakan bahawa setelah mereka baligh, kedewasaan akal fikiran mereka diuji termasuk dalam bidang pengurusan harta.

Selain itu Al-Quran juga menyuruh kita agar menyediakan bekalan yang secukupnya untuk keluarga kita apabila kita meninggal dunia. Sehubungan dengan ini Allah berfirman, “Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan karib kerabatnya secara ma'ruf (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah : 180)

Ayat mewajibkan meninggalkan harta pusaka kepada kaum kerabat diturunkan untuk mencegah perbuatan orang-orang jahiliyah dahulu yang berwasiat sebelum mati untuk memberikan harta pusakanya kepada orang yang jauh daripada pertalian kerabat. Tujuan mereka adalah untuk bermegah-megah, mengaharapkan puji serta bermuka-muka sedangkan kaum kerabat mereka sendiri terhindar, terbiar dan terlantar.

Islam bukan sahaja mengajar kita agar menyediakan bekalan yang secukupnya untuk keluarga kita apabila kita meninggal dunia tetapi juga menentukan kadar yang minima untuk perbelanjaan keluarga apabila kita meninggal dunia. Allah berfirman, “Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (yaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma'ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah : 240)

Daripada kedua ayat tersebut, kita dapat membuat kesimpulan bahawa seseorang itu harus merancang harta pusakanya agar isteri, anak-anak serta kaum kerabat mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk meniti hari-hari depan mereka.

Menurut setengah mufassirin kedua-dua ayat di atas telah dimansukhkan oleh ayat perwarisan didalam surah An-Nisa, namun sesetengah ulama yang lain menyatakan bahawa ayat ini tidak mansukh. Jika kita mengambil pandangan mufassirin yang mengatakan ayat ini tidak mansukh, malah hendaklah dibaca bersama-sama dengan perwarisan, iaitu ayat 11 dan ayat 12 dariipada Surah An-Nisa, kita dapat membuat kesimpulan bahawa pada puratanya seseorang itu hendaklah merancang meninggalkan bekalan selama empat atau lapan tahun perbelanjaan bergantung samada beliau mempunyai anak atau tidak. Ini adalah kerana jika seseorang itu meninggal dunia, isterinya akan mendapat seperempat atau seperlapan daripada harta pusaka dan selebihnya adalah untuk kaum kerabat yang lain termasuk ibu bapa.

Malah, meninggalkan harta pusaka yang melebihi perbelanjaan asas adalah lebih baik bagi seorang Islam daripada meninggalkan waris dengan segala kekurangan. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqqas dimana Rasulullah saw bersabda, “... Sesungguhnya meninggalkan waris kamu kaya adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka miskin meminta-minta manusia.” Setelah kita mengetahui bahawa adalah wajar meninggalkan harta pusaka secukupnya untuk waris kita, bagaimana kita dapat memastikan bahawa waris kita benar-benar akan mendapatnya? Tunggulah jawapannya pada minggu-minggu akan datang ...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home