Tuesday, January 31, 2006

1.Mengapa perlu merancang

MENGAPA PERLU MERANCANG ?

Kita perlu merancang karena ia merupakan sunnah atau jalan para rasul. Sebagai contoh, kisah Nabi Yusuf as memberikan kita pengajaran yang jelas betapa pentingnya perancangan untuk masa depan. Menurut Al-Quran, Nabi Yusuf as membuat perancangan lima belas tahun untuk menghadapi krisis kemarau yang dijangka berlaku. Beliau telah mengetahui kedatangan kemarau melalui ilmu mentafsir mimpi yang dikurniakan Allah kepada beliau. Sehubungan dengan ini beliau telah membuat persiapan yang rapi dan merangka pelan ekonomi yang mantap bagi menghadapi krisis tersebut. Bukan sahaja beliau telah dapat membangunkan ekonomi negeri Mesir tetapi dapat membantu rakyat negara lain. Al-Quran merakamkannya dengan menyatakan, “Yusuf berkata: ‘Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan.Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan dimasa itu mereka memeras anggur.’” (Surah Yusuf : 47-49)

Surah Yusuf juga menceritakan bagaimana bapanya, Nabi Ya’akub as telah membuat perancangan untuk mengurangkan risiko dengan memberi pesanan kepada anak-anaknya, “Dan Ya'qub berkata: ‘Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, tetapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri’”. (Surah Yusuf : 67 )

Apabila kita membaca sirah Rasullullah s.a.w. kita juga dapati beliau membuat perancangan untuk setiap pekerjaan yang dilakukannya. Baginda akan mengambilkira semua kemungkinan dan menyediakan semua persiapan sebelum menjalankannya; dan ini bukan bermakna beliau tidak bertawakkal kepada Allah swt. Sebagai contoh, beliau mengarahkan sebahagian sahabat berhijrah ke Habshah bagi mengelakkan daripada dizalimi oleh kafir Quraish. Pemilihan Habshah bukan dibuat secara hentam keromo. Baginda amat arif tentang latarbelakang geografi, keagamaan serta politik negara tersebut dan pasti bahawa Habshahlah tempat yang paling sesuai bagi orang-orang Islam yang dizalimi itu. Ini menunjukkan kepada kita bahawa orang-orang Islam pada masa itu pun tidak terputus daripada apa yang berlaku di dunia walaupun keadaan pengangkutan sangat dhaif. Dengan teknologi ICT yang terkini, umat Islam tiada alasan untuk tidak mengetahui keadaan dunia sekeliling dan membuat perancangan yang sewajarnya.

Kepekaan umat Islam terhadap apa yang berlaku di dunia juga jelas dengan sikap mereka terhadap konflik yang berlaku di antara kerajaan Parsi dan kerajaan Byzantium pada masa itu. Sehubungan dengan ini Al-Quran menyatakan, “Telah dikalahkan bangsa Rumawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan aebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman, Karena pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang. (Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janjiNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai. Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.” (Ar-Rum 2 - 8)

Antara contoh yang paling ketara tentang kepentingan perancangan ialah hijrah Rasulullah saw ke Madinah. Hijrah telah menggabungkan unsur perancangan yang rapi dengan meletakkan keyakinan kepada Allah swt. Rasulullah saw telah menyediakan segala sumber dalam kemampuannya sebagai manusia biasa dan pada waktu sama mengambil segala langkah berjaga-jaga bagi memastikan kejayaannya. Baginda telah mendapatkan tempat untuk berhijrah dengan melakukan dua perjanjian dengan penduduk Madinah, yang mana mereka (penduduk Madinah) akan melindungi Baginda dam orang-orang Islam yang akan berhijrah ke Madinah sepertimana mereka akan melindungi diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Kemudian Baginda memilih rakan yang sangat dipercayai, Saidina Abu Bakar ra untuk menemani beliau dalam perjalanan ke Madinah; dan Abu Barkar ra memanglah orang paling tepat.

Baginda juga memilih orang terpecaya, Saidina ‘Ali kw untuk menggantikan Baginda di tempat tidur bagi memperdaya kafir Quraish yang telah berjaga sepanjang malam untuk membunuh Baginda sebaik saja Baginda meninggalkan rumah Baginda. Saidina ‘Ali kw telah menjalankan tugas beliau dengan yakin dan berani walaupun ia mengancam nyawa beliau.

Baginda Rasulullah saw juga menyediakan seorang pakar penunjuk jalan, ‘Abdullah bi Uraiqat, untuk membawa beliau dan Saidina Abu Bakar ra ke Madinah. Walaupun penunjuk jalan itu seorang musyrik, ia seorang yang boleh di percayai. (Sehubungan dengan ini fuqaha Islam telah menjadikan peristiwa tersebut sebagai hujah membolehkan orang-orang Islam mendapatkan bantuan orang bukan Islam dalam urusan dunia mereka selagi mereka boleh dipercayai).

Disamping itu Rasulullah saw juga memilih sebuah gua yang telah ditinggalkan (gua Thaur), untuk bersembunyi selama beberapa hari sehingga kafir Quraish mengurangkan tindakan memburu Baginda. Gua Thaur juga dipilih kerana kedudukannya yang melawan arah Madinah. Ini adalah untuk mengelirukan lagi kafir Quraish.

Rasulullah saw juga menyediakan satu pasukan untuk membawa makanan dan berita sepanjang penyembunyian Baginda di gua tersebut. Pasukan tersebut terdiri daripada Asma’ dan ‘Abdullah, anak-anak Saidina Abu Bakar ra, dan Amir bin Fuhairah, pembantu Saidina Abu Bakar ra. Asma’ dan ‘Abdullah di tugaskan untuk membawa makanan dan berita sementara Amir di tugaskan untuk menutup jejak Asma’ dan ‘Abdullah dengan membawa kambing-kambing melalui jalan yang telah di lalui oleh Asma’ dan ‘Abdullah.

Peristiwa di atas menunjukkan kepada kita bahawa perancangan Baginda merupakan perancangan yang paling baik. Baginda tidak membiarkan suatu pun kepada “takdir” dan telah menugaskan setiap orang yang Baginda telah pilih untuk memainkan peranan yang tertentu.

Namun, walaupun Baginda telah menyediakan segala persiapan, perancangan tersebut hampir gagal apabila kafir Quraish berada di mulut gua Thaur hampir menjumpai Rasulullah saw dan Saidina Abu Bakar ra. Pada ketika itu Abu Bakar ra yang khuatir tentang keselamatan Rasulullah saw berbisik, “Kalau salah seorang daripada mereka menjenguk kedalam, mereka akan menjumpai kita.” Rasulullah saw yang penuh yakin dengan bantuan Allah menjawab, “Apa pandangan kamu, Abu Bakar, tentang dua orang sahabat yang dibantu oleh Yang Ketiga? Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.” Peristiwa ini dirakamkan oleh Al-Quran apabila Al-Quran menyatakan, “Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quraan menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At Taubah : 40)

Jawapan Rasulullah saw merupakan contoh yang jelas tentang keyakinan sebenar terhadap Allah swt. Melalui peristiwa ini Baginda mengajar kita bahawa kita mesti melakukan apa yang terbaik dalam melakukan sesuatu dan menyerahkan segala yang di luar kemampuan kita kepada Allah swt. Inilah pengertian sebenar bertawakkal kepada Allah swt. Selain daripada peristiwa Hijrah, terdapat banyak contoh daripada sejarah Islam yang menunjukkan bahawa bertawakkal kepada Allah swt bukan bererti kita harus berpeluk tubuh tanpa merancang. Salah satu contoh ialah apabila Rasulullah s.a.w. bertanya kepada seorang Arab Badwi mengapa beliau meninggalkan untanya tanpa ditambat. Jawab Arab Badwi itu: “ Aku bertawakkal kepada Allah”. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda: “Tambat unta kamu dahulu, kemudian bertawakkal kepada Allah”.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home