Tuesday, January 31, 2006

10.Hak Wanita Dalam Sistem Pewarisan Islam – Beberapa permasalahan tentang bahagian ibu

Hak Wanita Dalam Sistem Pewarisan Islam – Beberapa permasalahan tentang bahagian ibu

Dalam bahagian lepas, kita telah membicarakan bahagian isteri dan bahagian anak perempuan. Kali ini kita membicarakan tentang satu lagi golongan perempuan yang terdekat dengan simati iaitu ibu. Al-Quran menjelaskan bahawa ibu mendapat satu per enam atau satu per tiga daripada harta pusaka. Ini dijelaskan melalui ayat “...Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam ...” (An-Nisa : 11)

Sesetengah daripada kita mungkin bertanya, “Jika ibu berserta bapa berhak mendapat satu per enam seorang, bukankah ini melebihi bahagian anak-anak, terutama simati yang mempunyai anak yang ramai?”. Persoalan tersebut timbul kerana naluri manusia yang inginkan yang sebaiknya untuk anak-anak mereka. Mereka kadang-kadang merasakan bahawa ibu-bapa tidak perlu kepada harta pusaka kerana sebab-sebab yang mereka lebih arif. Itu memang benar, tetapi Allah lebih mengetahui dan Allah memberikan jawapannya lebih awal dengan firmanNya, “(Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa'atnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Akhir ayat 11 Surah An-Nisa)

Bahagian ibu

Berdasarkan kepada ayat-ayat di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa ibu mendapat bahagian satu perenam daripada harta pusaka dalam keadaan berikut :

Apabila simati meninggalkan anak, samada lelaki atau perempuan, seorang ataupun banyak. Para ulama juga menyatakan bahawa “anak” di sini juga bermaksud keturunan daripada anak lelaki; sebagai contoh, cucu daripada anak lelaki dan sehingga kebawah.
Apabila simati meninggalkan lebih daripada seorang saudara samada semuanya saudara lelaki atau semuanya saudara perempuan atau sebahagian lelaki dan sebahagian perempuan, saudara seibu sebapa, saudara sebapa atau saudara seibu.

Ini bererti dalam kebanyakan kes, ibu mendapat satu perenam. Dalam beberapa kes ibu mendapat satu per tiga. Ibu akan mendapat bahagian satu per tiga apabila simati tidak meninggalkan anak atau cucu daripada anak lelaki atau tidak meinggalkan beberapa saudara. Perkara ini jelas daripada Al-Quran. Walaubagaimanapun, terdapat dua kes di mana bahagian ibu tidak jelas dan para ulama berselisih pendapat mengenainya.

Dua kes tersebut dinamakan kes gharawain. Ia juga dinamakan Umaryatin kerana diputuskan oleh Saidina ‘Umar Ibnul Khattab, khalifah Islam yang kedua. Kedua kes tersebut adalah seperti berikut:

Seorang perempuan yang meninggal dunia meninggalkan suami, ibu dan bapa sahaja.
Seorang lelaki yang meninggal dunia meninggalkan isteri, ibu dan bapa sahaja.

Penyelesaian

Sebelum kita membincangkan dengan lebih mendalam, cuba kita selesaikan kes pertama seperti biasa berpandukan kepada Al-Quran. Mengikut kaedah biasa, pembahagiannya adalah : suami mendapat setengah (kerana isteri meninggal tidak meninggalkan anak), ibu mendapat satu per tiga dan bapa mendapat satu per enam. Ilustrasi berikut memberikan gambaran kepada kes tersebut.



Disini seolah-olah terdapat kejanggalan jika ibu mendapat lebih daripada bapa. Ini berlawanan dengan konsep lelaki mendapat dua kali ganda bahagian perempuan. Sebagai contoh, anak lelaki mendapat dua kali ganda bahagian anak perempuan. Sehubungan dengan ini mazhab Shafie mengambil pandangan yang memberikan ibu sebanyak satu perenam dan bapa satu pertiga. Ini berdasarkan kepada keputusan Saidina Umar r.a yang diikuti oleh beberapa sahabat seperti Uthman khalifah kedua, Zaid bin Thabit pakar faraid yang ulung, Ibnu Mas’ud dan lain-lain. Mereka berpendapat bahawa ibu mendapat satu pertiga daripada lebihan setelah ditolak bahagian suami iaitu satu perenam dan selebihnya, satu pertiga, diberikan kepada bapa. Ilustrasi berikut memberikan gambaran kepada pandangan ini.

CARA PEMBAHAGIAN

Berikan bahagian suami iaitu 1/2.
Lebihannya ialah 1/2
Daripada lebihan 1/2 ini kita berikan 1/3 kepada ibu. Ini sama dengan 1/6 daripada keseluruhan.
Baki keseluruhan iaitu 1/3 diberikan kepada bapa.
Jadi bapa mendapat 1/3 dan ibu mendapat 1/6. Ini bererti bapa mendapat dua kali ganda bahagian ibu.

Mereka memberikan alasan bahawa kalimat fali ummi thuluth dalam ayat 11 Surah An-Nisa boleh bererti satu pertiga daripada keseluruhan atau sebahagian. Jika tidak mengisyaratkan demikian maka kalimat wawarithuhu abawah tidak bererti apa-apa. Ini adalah kerana apabila Al-Quran menerangkan kalimat tersebut, ia memberitahu bahagian ibu iaitu satu pertiga dan bapa akan mendapat dua pertiga. Dalam hal ini ibu mendapat satu pertiga berdasarkan kepada ayat Al-Quran, “...jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat seper tiga;...” (An-Nisa : 11) dan bapa akan mendapat dua per tiga yang mana satu perenam sebagai ashabul furud dan selebihnya sebagai asabah (akan dibincangkan pada siri-siri akan datang). Kesimpulannya ialah bapa sebagai lelaki mendapat dua kali ganda bahagian ibu kerana bapa mendapat dua pertiga sedangkan ibu hanya mendapat satu pertiga daripada harta pusaka. Ketentuan ini tidak berlaku jika simati meninggalkan suami, ibu dan bapa dimana ibu mendapat satu pertiga kerana jika demikian maka ibu sebagai perempuan mendapat dua kali ganda bapa dan ini berlawanan dengan konsep umum. Mereka seterusnya mengaplikasikan doktrin asabah selepas ditolak bahagian suami dimana ibu dikira sebagai asabah bi ghairihi (akan diterangkan dalam bahagian ‘asabah) bersama-sama dengan bapa.

Percanggahan pendapat

Walaubagaimanapun, dalam sejarah Islam kes ini telah menjadi perdebatan dimana seorang sahabat yang tidak kurang ahlinya dalam sistem pewarisan Islam, iaitu Ibnu Abbas telah tidak bersetuju dengan kaedah di atas dan tetap dengan pendirian bahawa ibu mendapat satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka. Beliau mengemukakan hujah-hujah berikut untuk menyokong pendapat beliau :

Pertama, bahawa kalimat fali ummi thuluth (bagi ibu satu per tiga) dalam ayat 11 Surah An-Nisa bererti satu per tiga daripada keseluruhan. Ini adalah kerana kalimat tersebut sama dengan kalimat falahan nisfu (baginya setengah) yang mana ianya dikaitkan dengan ma taraka (apa yang kamu itinggalkan). Jadi kalimat fali ummi thuluth (bagi ibu satu pertiga) juga hendaklah dibaca sebagai satu pertiga daripada apa yang ditinggalkan dan bukannya satu pertiga daripada lebihan setelah ditolak bahagian suami.
Kedua, semua jenis fardu iaitu setengah, satu perempat, satu perlapan, satu perenam dan dua pertiga yang disebutkan di dalam Al-Quran semuanya merujuk kepada keseluruhan harta pusaka. Dengan itu satu pertiga juga merujuk kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka. Andainya satu pertiga merujuk kepada lebihan setelah ditolak bahagian suami, sudah tentu ada nas yang demikian. Memandangkan tiada nas maka kita kembali kepada asal iaitu daripada keseluruhan harta pusaka selepas ditolak hutang dan wasiat.
Ibu merupakan golongan ashabul furud dan hendaklah didahulukan dan bapa mendapat bahagian sebagai ashabul furud dan juga asabah binafsihi yang mana asabah binafsihi menghabiskan harta jika terdapat lebihan. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi, “Harta pusaka itu adalah untuk ahlinya, maka jika ada lebih, ianya diberikan kepada lelaki yang paling utama disebelah lelaki.” (Mutafaq ‘alaih)

Menurut Ibnu Qudamah, pendapat Ibu Abbas lebih kuat dan jika tidak kerana ijmak dikalangan sahabat maka berkemungkinan pendapat beliau dipakai. Namun demikian tidak juga dapat dikatakan ijmak dengan adanya percanggahan pendapat oleh Ibnu Abbas. Menurut seorang orientalis yang mengkaji sistem pewarisan Islam yang bernama Profesor Coulson, semua mazhab ahli sunah menerima pandangan ini kecuali mazhab Syiah Imamiyah yang memberikan ibu satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka. Jumhur ulama menerima pandangan Saidina Umar kerana ianya lebih kuat dan sesuai dengan kaedah lelaki mendapat dua kali bahagian perempuan apabila sama darjah. Wallahu a’lam.

Kes gharawain

Dalam kes kedua gharawain, seorang lelaki yang meninggal dunia meninggalkan isteri, ibu dan bapa. Sama seperti kes pertama, ulama juga berbeza pendapat. Pendapat pertama sama dengan pendapat jumhur iaitu; isteri mendapat satu perempat, ibu mendapat satu perenam dan selebihnya iaitu tujuh perduabelas diberikan kepada bapa. Pendapat kedua, iaitu pendapat Ibnu Abbas dan mereka yang sehaluan dengannya. Golongan ini berpendapat isteri mendapat satu perempat, ibu mendapat satu pertiga dan selebihnya iaitu lima perduabelas adalah untuk bapa.
Pandangan Jumhur Ulama


Pandangan Mazhab Ibnu Abbas & Ibnu Sirin

Mazhab ikutan
Memandangkan bahawa mazhab yang dipakai di negara kita merupakan mazhab Shafie yang juga ahli sunah wal jamaah, maka sesiapa yang ingin memastikan ibu mendapat warisan yang secukupnya boleh menggunakan instrumen perancangan harta pusaka yang lain. Sebagai contoh, andaikan seseorang itu ingin meninggalkan RM 60,000 untuk ibunya sedangkan ia mempunyai harta sebanyak RM 180,000 maka ia harus menggunakan instrumen lain untuk membolehkan ibunya mendapat RM 60,000. Sehubungan dengan ini seseorang itu boleh mendapatkan khidmat Pusat Perancangan Harta di cawangan-cawangan Amanah Raya Berhad.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home